Rabu, April 09, 2008

Gerhana Pendidikan Perlu dilenyapkan Segera

Isu manusia dan kemaksiatan sudah setiap hari diberitakan pada setiap hari, ini bukanlah satu perkara baru di Malaysia sejak 4-5 tahun kebelakangan ini. Laman-laman web yang mudah didapati dan pautan-pautan web yang sangat cepat tanpa sempadan membolehkan setiap individu yang tipis imannya mudah sahaja menelusuri laman-laman tidak bermoral dan merosakkan minda. Fenomena ini bukan sahaja berlaku kepada golongan yang kurang pendidikan agama, malahan mereka-mereka yang berpendidikan agama juga malahan kadangkala bakal ustaz dan ustazah juga turut hanyut dalam medan dunia kemaksiatan tanpa sempadan ini.

Dengan setiap hari program hiburan berkumandang di kaca televisyen, malahan kini diparahkan lagi dengan kewujudan siaran berbayar seperti astro memberikan ruang dan peluang yang amat luas untuk agenda-agenda kemaksiatan dan keruntuhan akhlak dihidangkan bersama ketika waktu kemuncak siaran. Kanak-kanak yang tidak berdosa dan masih belum lagi memahami erti dosa dan maksiat juga turut dilibatkan bersama dalam kancah maksiat menerusi televisyen. Maka apa pula ruang dan peluang Islam untuk menyemai benih dan bibit norma murni kehidupan Islam ke dada-dada masyarakat dan ummat? Adakah cukup sekadar beberapa slot seperti TV9, ataupun slot Al-Kuliyyah di TV3, mahupun slot Forum Perdana Ehwal Islam setiap minggu?

Barangkali jikalau kita berpeluang mengira dan memberikan pembahagian antara program yang memberikan impak positif dengan program yang bersifat hiburan semata-mata, berapa peratuskah perbezaannya? Pernahkah kerajaan yang melaungkan Islam Hadhari suatu ketika dahulu membuat penilaian dan observasi secara bersungguh-sungguh tentang perkara ini?

Untuk pengetahuan umum, sepanjang 22 tahun kehidupan saya di muka bumi ALLAH ini, tiada satupun kajian yang telus dan diberikan kepercayaan dijalankan dan disiarkan secara meluas di kaca-kaca televisyen, kalaupun ada hanyalah suatu kajian ilmiah (tesis) yang dilakukan oleh individu yang mahu menamatkan pengajian di universiti-universiti tempatan, dan semuanya tidak lebih untuk tatapan pensyarah dan peminat tajuk berkenaan sahaja, yangmana terpaksa dicari di celah-celah ratusan malahan ribuan kajian ilmiah individu lain.

Di sini, terdapat beberapa persolan yang perlu dirungkapkan; pertama berkaitan peranan kerajaan dan jabatan perdana menteri dalam melaksanakan dan menerapkan secara serius norma Islam dalam kehidupan masyarakat? ; kedua pula, apakah sebenarnya peranan dan sumbangan yang akan diambil faedah oleh pentadbiran kerajaan terhadap hasil tungkus lumus mahasiswa universiti yang selama ini belajar dengan jumlah perbelanjaan tidak kurang dari RM 20 000 ( untuk ijazah dasar), dan mungkin mencecah ratusan ribu bagi ijazah tinggi dan doktor falsafsah. Adakah mereka hanya berfungsi di kampus, idea-idea hanya dijadikan arkib dan percambahan di kampus semata-mata, paling jauhpun diambil untuk diseminarkan dan dibentangkan dalam program-program yang terhad kemasukannya.

Jadi sebenarnya apakah nilaian seorang insan yang bergelar Doktor Falsafah, Profesor, Profesor Madya, malahan mahasiswa kepada mata masyarakat dan pentadbiran negara? Inilah kemelut yang melanda dunia keintelektualan mahasiswa dan warga kampus kini ; kekurangan sokongan dan pembelaan kerajaan dek kerana dihimpit oleh sentimen politik kepartian dan undang-undang manusia yang sudah kepalang pasti jauh dari kehendak asal penubuhan sebuah universiti dan kolej. Maka jangan disalahkan jika tiada individu yang mempunyai kehebatan seperti Ibnu Sina, Al-Kindi, Al-Farabi, Jaber, dan ramai lagi tokoh muncul untuk memberikan suatu norma dan order baru pemikiran manusia. Khusus bagi membawa dan menyelesaikan masalah ummat Malaysia kini.

Usah dinanti bila munculnya, jika tidak disemai dan dijaga benihnya. Mungkin inilah dilema adik Adi Putra, Nur Amalina, dan lain-lain individu cerdik yang pernah muncul di persada perdana sebelum ini. Apakah kebijaksanaan mereka untuk dieksploitasi oleh sesetengah pihak? Adakah kebijaksanaan mereka akan dikuburkan dengan arahan dan undang-undang yang tidak pasti dimana dasarnya, seperti undang-undang mewajibkan semua kanak-kanak mengikuti kelas pengajian berperingkat, jika tidak sudah pasti dinafikan hak mendapat keistimewaan dan peluang melanjutkan pengajian.

Mungkin sudah sampai masanya kerajaan mengkaji semula dasar pendidikan kebangsaan. Adakah mengikuti sistem pendidikan yang dirangka oleh colonial British ini benar-benar mampu melahirkan individu muslim dan rakyat yang mampu mencapai keilmuan pelbagai bidang dalam usia muda seperti Ibnu Sina, yangmana menguasai pelbagai bidang ilmu termasuk sastera, bahasa, muzik, kebudayaan, perubatan, dan banyak lagi?

Itu baru satu aspek daripada puluhan cabang bidang kelimuan dan pendidikan di Malaysia. Mungkin cetusan ini memerlukan lagi beberapa helaian untuk menjelaskan aspek-aspek berkaitan. Maka sewajarnya kerajaan menilai dan mengkaji semula setiap dasar yang berkaitan dengan pendidikan, pelajar, dan mahasiswa.

Jika tidak, seramai manapun individu yang lahir dari alam kampus saban tahun, tidak akan mampu memberikan jalan penyelesaian termudah untuk masalah kehidupan dan moral masyarakat diluar sana kelak. Bahkan mungkin mahasiswa kampus ini pula yang akan membawa beban kepada masyarakat, seperti isu akhlak, krisis identiti, pengangguran, gejala social, dan lain-lain.

Gunakanlah wang bertrilion ringgit sekalipun, saya masih beriman bahawa wang dan prasarana bukanlah punca asas kepada masalah keintelektulan dan keilmuan pasca merdeka ini.

Wahai pemimpin negaraku yang tercinta, sedarlah dan bangkitlah dari kerusi empukmu!

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama