Isnin, April 21, 2008

JAIS Wajar Berada Di bawah Kerajaan Negeri


Tatkala mengetahui terdapat usaha kerajaan negeri Selangor untuk mengambil kembali Sekolah-sekolah agama bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), saya selaku antara bekas pelajar dari salah sebuah sekolah tajaan JAIS ini berasa terpanggil untuk mengulas. Bukan bermakna saya obses dengan kerajaan negeri yang baru, namun memang begitu lunas yang sepatutnya dilaksanakan sejak dahulu lagi.
Ibupejabat Jais

Manakan tidak, sejak diambil alih pengurusan sekolah ini di bawah kementerian, semakin banyak perubahan dan permasalahan yang ketara dapat dilihat. Jika dahulu silibus sekolah ini menepati syarat asas kemasukan ke universiti-universiti timur tengah, daripada peringkat asas kepada separa tinggi, kini semuanya tinggal kenangan.

Ini berlaku secara sedikit demi sedikit dengan penghapusan subjek-subjek 'teras' sekolah agama ini seperti tauhid, sirah, fekah, lunghah, dan akhlak. Sempat saya merasai zaman peralihan dahulu, sekitar tahun 1998-2001.

Mata pelajaran yang dicatatkan di atas adalah mata pelajaran teras sekolah agama yang diajarkan dalam bahasa Arab. Namun zaman kemasukan saya (1998) mata pelajaran sirah nabawiyyah di anaktirikan. Hasilnya, mereka-mereka yang selama ini menghayati dan meneladani kehidupan dan perjalanan Rasulullah semakin sedikit jumlahnya di sekolah-sekolah ini.

Tidak dapat dibayangkan apabila dilaporkan salah seorang pelajar dari sebuah sekolah tajaan JAIS ini terlibat dengan budaya kotor dan jelek iaitu meminum arak. Malahan ada juga dilaporkan bahawa terdapat kes menonton video lucah di bilik komputer sekolah. Dan banyak lagi kes yang 'dipencilkan' pihak pengurusan sekolah.

Syarat kemasukan pula tidak lagi menitik beratkan kepada kualiti, namun penuh kroni dan kotor. Bayangkan saya sebagai pengawas sekolah ketika itu disuruh menguruskan senarai kemasukan pelajar yang mempunyai 'kes-kes khas'. Antaranya adalah yang menpunyai keputusan bawah 3A(UPSR) dan 50%, atau Jayyid ( SPRA). Dengan alasan "semua nama ini telah diluluskan oleh pengetua dengan arahan jabatan".

Namun yang lebih penting adalah hasil yang dilahirkan daripada sekolah-sekolah JAIS ini. Sebagai contoh, hasil keluaran Sekolah Agama Tinggi Sultan Salahuddin Batu 38 ( dahulu dikenali dengan Maahad Salahuddin) sekitar tahun 80an, adalah seperti Dr Badrul Amin Baharom, Ust Asmu'ie Sidik, dan ramai lagi tokoh pendakwah dan pejuang agama. Tapi kini hasil keluarannya "segan" mengakui beliau adalah product sekolah agama JAIS. Malahan hanya menjadikan alasan kemasukan mereka ke sekolah agama tersebut sebagai memenuhi arahan dan kehendak keluarga semata-mata. Sekolah agama hilang izzahnya di Selangor?

Wallahu a'alam
, saya kurang pasti samaada tergolong dari kalangan hasil yang berjaya ataupun gagal. Tapi saya menyokong penuh pengambilan semula sekolah agama di bawah kerajaan negeri. Bahkan mungkin perlu dirombak dan disemak kembali sistem pendidikan dan subjek yang diajarkan. Mudah-mudahan kehendak ulama' terdahulu semasa menubuhkan sebahagian daripada sekolah-sekolah ini (sebelum dikumpulkan di bawah JAIS) tidak sia-sia. Ada benchmark khusus yang boleh dibanggakan sebagai hasil pendidikan sekolah agama negeri Selangor!


0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama