Jumaat, April 11, 2008

Ultraman ku Sayang, Ultraman ku Malang

Terkenang sewaktu di darjah 5 Mawar dahulu, tepat jam 5, petang khamis, saya dan Ijam mesti sudah tercongok depan kaca televisyen. Setianya kami sehinggakan kalau sedang bergaduh sekalipun boleh berdamai, semata-mata mahu menonton aksi tayangan bersiri Ultraman. Namun pada suatu hari, episod pada minggu tersebut seolah-olah memang dirancang dengan ‘mood’ sedih. Satu-persatu serangan buah kilas si Ultraman tidak menjadi. Mudah saja dipatahkan oleh sang Raksasa. Akhirnya si Ultraman terpaksa mengaku kalah, diikat di tiang seperti pasung di suatu tempat yang sememangnya untuk si kalah.

Wah, masih relevan rupanya kisah Ultraman ini. Tersenyum sinis bila membaca kisah tentang 15 bahagian Umno Kedah yang membuat pertemuan tertutup dengan Najib (TPM), di antara lain menyebut bahawa mereka menyalahkan Pak Lah (PM) atas kekalahan teruk Umno. Barangkali si Ultraman sedang sibuk melawan raksasa semut yang semakin berani menggigit celahan paha dan ketiak. Dibiarkan merana, si usik sakit hati. Namun takkan si Ultraman ini tiada serangan buah kilas lain?

Pada 1 april lalu, ketiga-kita kepimpinan tertinggi PKR, PAS, dan DAP bersetuju untuk menubuhkan Pakatan Rakyat (PR) dalam satu mesyuarat pada pagi yang sama. Lagi menarik, semut-semut yang selama ini berkeliaran jika disembur air ( merujuk kisah 10 Nov-BERSIH) kini sudah mula membuat penggabungan badan untuk membina raksasa besar yang mampu melawan dan menjatuhkan Ultraman yang selama ini ‘dimenangkan’ oleh pengarah sitcom (SPR).

Belum sempat ultraman mendapatkan bantuan dan menyusun pernafasan. Sekali lagi disesakkan dengan serangan sulit lawan. Kali ini pusat kawalannya pula diganggu gugat. Manakan tidak, pada hari ini, 10 april, 30 ahli parlimen Barisan Nasional (BN) dilaporkan telah membuat perjumpaan dengan penasihat PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Sedang dalam masa yang sama, pasukan bantuan tidak mampu menolong Ultraman, selepas beberapa hari lalu, dilaporkan pula mereka telah memanjangkan lagi derita penahanan ISA, kepada 5 tahanannya untuk tempoh 2 tahun lagi. Ini menjadikan jumlah penahanan mereka kepada 8 tahun. Sedang rakyat mahukan keadilan dan kebajikan mereka terjamin, pusat kawalan si Ultraman pula boleh menambahkan tempoh tahanan tanpa bicara rakyat jelatanya.

Aduh, berdebar sungguh menunggu episod ini berakhir. Bangga saya menjadi rakyat Malaysia yang terbuka, toleransi, kreatif, dan professional.

Ijam, kalau sekarang kau tengok cerita ultraman versi Malaysia sekarang ni, mesti lagi sedih dan menarik!

p/s; Ijam adalah adik kandung penulis yang kini belajar di KUIS.

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama