Rabu, April 09, 2008

Wahai Orang Yang Berselimut

Salam Ukhuwwah, buat tatapan semua tetamu dan pembaca kalam mujtaheed. Rencana yang ditatap oleh sahabat pada kali ini merupakan penghasilan karya pertama setelah beberapa bulan saya mendiamkan diri dari laman maya ini. Bukan disebabkan tiadanya idea, namun kedua tangan pemberian ALLAH ini hilang keyakinan untuk meletakkan sebarang cetusan idea dan rasa. Barangkali diri ini masih tidak mampu menyusun dan merencana kendiri kepimpinan yang telah diberikan galasan oleh Rabbul Izzati. Mudah-mudahan diri ini diberikan keizinan untuk merasai kemanisan berkhidmat di bawah lembayung Ilahi. Insya’ALLAH.

Pada 4 April 1939, Pengasas Gerakan Ikhwanul Muslimin, As-Syahid Imam Hassan al-Bana berkata;

“kami Ikhwanul Muslimin mengemukakan dakwah kami dengan tenang, tetapi amat kencang, lebih kencang daripada angin taufan…….merendah diri, tetapi teguh, lebih teguh daripada gunung….terbatas, tetapi lebih luas daripada sempadan bumi ini.”

Tatkala saya membaca kata-kata beliau, tiada apa-apa yang saya rasakan, seolah-olah hati ini mati, kaku, keras ,dan bebal dengan keegoan dan keangkuhan. Barangkali istilah ini biasa dan acapkali didengari dari sekalian sahabat. Namun, hati mula tersentak dengan bait-bait kata-kata mujaddid yang telah menemui syahidnya ini;

“tidak berselindung di sebalik imej dan gaya yang palsu, sebaliknya diserikan dengan nada kebenaran, keindahan wahyu, dan peliharaan ALLAH……..tidak dirakusi dengan kerakusan, ketamakan, dan impian peribadi. Sebaliknya dakwah ini menjanjikan orang-orang yang mengimaninya dan jujur beramal, bahawa mereka akan berolah kekuasaan di dunia dan syurga diakhirat kelak”

Mungkin inilah kemungkinan terbesar yang menyebabkan dakwah dan kehadiran kita masih lagi kurang didengari dan diterima dengan baik. Berselindung dengan imej dan gaya semata-mata, nada yang menampakkan kepentingan peribadi, ingin disanjung, dan berbagai lagi ragam hati yang diselubungi sifat mazmumah.

1429 tahun dahulu, telah berkumandang satu seruan yang suci daripada yang Maha Agung yang bermaksud;

“ wahai orang yang berselimut !, bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada ummat manusia). Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya !”

Kini seruan itu masih lagi relevan dan akan sentiasa relevan. Barangkali cuma pelaku dan pemegang wataknya sahaja yang akan berbeza. Kita bukan pemula gerakan dakwah, dan jangan kita jadikan diri kita ini sebagai pemutus gerakan ini, di tempat yang sama kita pernah atau mungkin pertama kali disuakan dengan tawaran melaksanakan gerakan dakwah ini.

Semestinya kita wajib percaya dan memegang prinsip, dakwah sebagai pemula gerakan tarbiah. Mana mungkin individu muslim mampu dibentuk dan dilatih menjadi seorang da’ie jika tidak diajak dan disuakan dengan keindahan Islam, terlebih dahulu? Atau mungkin sememangnya individu tersebut telah mempunyai sensitiviti dan kefahaman asas terlebih dahulu sebelum diajak menganggotai ahli gerakan dakwah.

Maka inilah realiti kampus kita kini, memilih bulu dan perwatakan seseorang merupakan perkara asas dan hampir pasti wajib dalam pemilihan ahli usrah. Maka sempena kehadiran sesi pentarbiahan akan datang, maka ayuhlah kita buka minda dan mentaliti serta tingkatkan sensitiviti untuk mengaut semaksimum mungkin ruang dan peluang menanam benih pahala ALLAH menerusi usrah yang kondusif, tenang tetapi kencang, rendah diri tapi teguh, tegas tapi ikhlas..........................

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama