Isnin, April 21, 2008

Apa Erti Blog Pada Saya?

Saya terfikir sejenak bilamana naqib dan orang yang saya paling kagumi setakat berada di kampus, Ust Dzulhairi menegur sahabat seperjuangan seperti kami dengan istilah "lalai dengan blog". Tidak ada cacat dan silapnya pandangan dan teguran Abg Dzul itu bagi saya. Memang beliau layak berkata sedemikian, dan ramai perlu membaca dan mengambil iktibar daripada kata-kata beliau.

Mungkin para blogger PMIUM yang kini rata-rata beberapa pimpinan PMIUM dan sahabat-sahabat yang lain perlu meneliti bait-bait kata beliau. Leka bererti lalai, lalai bererti asyik dengan sesuatu perkara sehingga meninggalkan atau melupakan tugasan asas kita. Di sini saya lampirkan sedikit pandangan tentang fungsi blog (kepada yang dah ada), dan mungkin untuk yang berangan-angan mempunyai blog di masa akan datang.

Blog amat sesuai bagi individu yang sememangnya menjadi top figure untuk dijadikan rujukan dan panduan daripada hasil tulisan, cadangan, dan fikrah beliau. Maka blog ini tadi memang layak dan perlu di'imarahkan, yang kedua blog mana-mana front mahasiswa seperti mahasiswa kini, PMIUM, dan lain-lain yang kadangkala dijadikan medan meluahkan pandangan dan pendirian para pimpinan masyarakat kampus seperti MPMUM, dan wakil fakulti, dan yang terakhir adalah blog persendirian yang dibuat tanpa mana-mana arahan jemaah/persatuan. Berkonsepkan inisiatif dan amal ijtima'i seseorang untuk melihat fikrah Islam disebarkan dengan lebih meluas dan pelbagai.

Namun, di sini saya agak sedih apabila membaca blog-blog persendirian yang kadangkala tidak diketahui apa motifnya dan apa tujuan penubuhannya.(termasuklah blog saya sendiri mungkin) Alangkah baiknya jika blog-blog ini dijadikan ruang memudahkan anak-anak usrah membaca dan menilai ruang lingkup pemikiran naqib, atau mungkin naqib memberikan ulasan lanjut tentang isu semasa ummat Islam yang berkaitan tajuk usrah dan menyarankan anak usrah membaca jawapan dan saranan tersebut di blog-blog para naqib masing-masing. Lalu ruang sembang di tepi (c-box, shout box) dijadikan medan soal jawab berkaitan isu tersebut.

Maka tangan yang menaip lebih bertanggungjawab melaksanakan apa yang dilontarkan, juga adalah baik jika masa untuk me'update' blog ini hanyalah sekadar 30minit ke 1jam. Tidak lebih dari itu, serta bersedia dikritik demi untuk mendapatkan keredhaan ALLAH dalam ruang dakwah maya ini. Insya'ALLAH.

JAIS Wajar Berada Di bawah Kerajaan Negeri


Tatkala mengetahui terdapat usaha kerajaan negeri Selangor untuk mengambil kembali Sekolah-sekolah agama bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), saya selaku antara bekas pelajar dari salah sebuah sekolah tajaan JAIS ini berasa terpanggil untuk mengulas. Bukan bermakna saya obses dengan kerajaan negeri yang baru, namun memang begitu lunas yang sepatutnya dilaksanakan sejak dahulu lagi.
Ibupejabat Jais

Manakan tidak, sejak diambil alih pengurusan sekolah ini di bawah kementerian, semakin banyak perubahan dan permasalahan yang ketara dapat dilihat. Jika dahulu silibus sekolah ini menepati syarat asas kemasukan ke universiti-universiti timur tengah, daripada peringkat asas kepada separa tinggi, kini semuanya tinggal kenangan.

Ini berlaku secara sedikit demi sedikit dengan penghapusan subjek-subjek 'teras' sekolah agama ini seperti tauhid, sirah, fekah, lunghah, dan akhlak. Sempat saya merasai zaman peralihan dahulu, sekitar tahun 1998-2001.

Mata pelajaran yang dicatatkan di atas adalah mata pelajaran teras sekolah agama yang diajarkan dalam bahasa Arab. Namun zaman kemasukan saya (1998) mata pelajaran sirah nabawiyyah di anaktirikan. Hasilnya, mereka-mereka yang selama ini menghayati dan meneladani kehidupan dan perjalanan Rasulullah semakin sedikit jumlahnya di sekolah-sekolah ini.

Tidak dapat dibayangkan apabila dilaporkan salah seorang pelajar dari sebuah sekolah tajaan JAIS ini terlibat dengan budaya kotor dan jelek iaitu meminum arak. Malahan ada juga dilaporkan bahawa terdapat kes menonton video lucah di bilik komputer sekolah. Dan banyak lagi kes yang 'dipencilkan' pihak pengurusan sekolah.

Syarat kemasukan pula tidak lagi menitik beratkan kepada kualiti, namun penuh kroni dan kotor. Bayangkan saya sebagai pengawas sekolah ketika itu disuruh menguruskan senarai kemasukan pelajar yang mempunyai 'kes-kes khas'. Antaranya adalah yang menpunyai keputusan bawah 3A(UPSR) dan 50%, atau Jayyid ( SPRA). Dengan alasan "semua nama ini telah diluluskan oleh pengetua dengan arahan jabatan".

Namun yang lebih penting adalah hasil yang dilahirkan daripada sekolah-sekolah JAIS ini. Sebagai contoh, hasil keluaran Sekolah Agama Tinggi Sultan Salahuddin Batu 38 ( dahulu dikenali dengan Maahad Salahuddin) sekitar tahun 80an, adalah seperti Dr Badrul Amin Baharom, Ust Asmu'ie Sidik, dan ramai lagi tokoh pendakwah dan pejuang agama. Tapi kini hasil keluarannya "segan" mengakui beliau adalah product sekolah agama JAIS. Malahan hanya menjadikan alasan kemasukan mereka ke sekolah agama tersebut sebagai memenuhi arahan dan kehendak keluarga semata-mata. Sekolah agama hilang izzahnya di Selangor?

Wallahu a'alam
, saya kurang pasti samaada tergolong dari kalangan hasil yang berjaya ataupun gagal. Tapi saya menyokong penuh pengambilan semula sekolah agama di bawah kerajaan negeri. Bahkan mungkin perlu dirombak dan disemak kembali sistem pendidikan dan subjek yang diajarkan. Mudah-mudahan kehendak ulama' terdahulu semasa menubuhkan sebahagian daripada sekolah-sekolah ini (sebelum dikumpulkan di bawah JAIS) tidak sia-sia. Ada benchmark khusus yang boleh dibanggakan sebagai hasil pendidikan sekolah agama negeri Selangor!


Mampukah Islam Kembali Gemilang?



Suka saya mulakan hujahan kali ini dengan bertanya kepada para sahabat, adakah kita sudah meneliti filem FITNA? tersentak jiwa bilamana pertama kali melihat satu persatu helaian cereka (yang seolah-olah dokumentari) yang diselangi dengan ayat Al-Qur'an dan kata-kata daripada khutbah beberapa individu yang seolah-olah seruan melaksanakan jihad. Cukup teliti perencanaan filem ini meskipun boleh diragui penggunaan ayat Al-Qur'an yang digunapakai, contohnya ayat berkaitan cara seksaan ALLAH SWT ke atas ahli neraka dengan menggantikan lapisan kulit manusia yang setiap kali terbakar hangus dengan lapisan yang baru.

Juga digambarkan kejadian pengeboman berani mati (amal Istishadiah) yang dilakukan di Palestin, Bali, dan lain-lain tempat. Kalamullah diperdengarkan dengan jelas dan diberikan maksud yang lengkap seolah-olah filem ini diadaptasi daripada salah satu dokumentari Islam.

Manakala beberapa paparan terakhir menayangkan secara jelas karikatur yang pernah menggemparkan dunia sebelum ini, iaitu gambaran kekasih ALLAH yang juga Nabi dan Rasul yang diturunkan untuk sekalian ummat akhir zaman, Muhammad SAW dalam keadaan serban yang mempunyai bom.

Maka tayangan filem ringkas tersebut diakhiri dengan beberapa saranan untuk mengajak manusia yang menontonnya berfikir panjang(jika mereka berminat untuk memilih Islam), juga diselitkan doktrinisasi dalam bentuk perkataan yang menuntut penontonnya menjauhi Islam.

Ini adalah sedikit gambaran yang dapat saya berikan berkaitan kecenderungan dan obses yang terlalu extrem yang cuba ditonjolkan oleh perencana filem ini untuk penonton merasa takut dan benci dengan agama Islam. Sorotan di atas hanyalah sedikit gambaran yang cuba saya tonjolkan bagi meletakkan batu asas penulisan saya kali ini.

Setelah beberapa minggu berlalu kisah ini, semua ummat Islam kembali reda dan 'sejuk'. seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku sebelum ini. Sama seperti asal. Sama seperti sebelum Geert Wilders mengeluarkan filem ringkas ini. Beberapa sorotan pengeluaran filem ini saya cuba lampirkan untuk pengetahuan bersama;

-27 Mac 2008; Fitna mula dikeluarkan di internet di Liveleak website dalam versi Belanda dan Inggeris.

-30 Mac 2008; Wilders laknatullah ini telah remove Fitna dari website tersebut, untuk mengelakkan penyalinan dan penyalahgunaan.

- 4 April 2008; Fitna edisi kedua ditayangkan lagi sekali oleh beliau.

Dan kini Wilders masih lagi dengan keadaannya sebelum ini, hanya mungkin lebih popular. Akhbar-akhbar utama hanya fokus isu Babi di Selangor, Perdana Menteri terus merencana agenda memperkasa kedudukan beliau di parlimen, para pelajar terus dengan buku dan kelasnya, para nelayan dengan bot dan ikan, cikgu dengan murid dan silibus pengajian, doktor dengan pesakit dan ubat, artis dengan show dan lagu, petani dengan kebun dan sawah, manakala ahli politik dengan kroni dan nama.

Mana pergi laungan keras dari pemuda UMNO? mana pergi para demonstrator Pemuda PAS Pusat? mana pergi laungan "Hidup Islam". Kalau inilah senarionya, maka jangan ditunggu bila Islam akan kembali gemilang di bumi ALLAH ini.

Islam ini sempurna, baik, sejahtera, namun perlu kepada bukti dan perlaksanaan yang dapat dilihat secara praktikal. Siapa lagi yang akan memberikan gambaran praktikaliti Islam untuk ditonton oleh seluruh Ummat manusia kini?

Maka carilah peluang, gunalah kesempatan, barangkali kita mungkin salah seorang yang akan menyingkap keluar samar-samar kegelapan hasil gerhana dunia Islam sejak 1924 yang lalu.....


Ya ALLAH jauhkan kami dari maksiatmu, kerana kami mahu terus menyusun perancangan menegakkan kembali syiarMu di alam ini. Jauhkan kami dari kemaksiatan yang boleh mencacatkan hasil perencanaan. Kami akui ya ALLAH, kami tidak perlu gelojoh. tidak perlu rakus, dan tidak perlu tamak. Malahan kami yakin, bahawa apabila kami benar-benar dapat menyusun dan menjadikan ummat ini kembali bersimpuh dan tunduk dibawah arahan dan syariatMu, maka ketika itu dengan sendirinya Engkau akan selak tabir dan gerhana Islam yang telah lama merundung kami di alamMu ini. Kami rindu ya ALLAH, untuk berada dalam dakapanmu!